KUALA LUMPUR: Kebanyakan produk kopi campuran tongkat ali di pasaran didapati hanya mengandungi terlalu sedikit ekstrak herba itu dan langsung tidak memberi faedah kesihatan atau khasiat tambahan seperti yang didakwa pengeluarnya.
Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) terhadap 10 jenama kopi tongkat ali popular di pasaran mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu dan tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan.
Pengarah Program Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, berkata kandungan bahan aktif tongkat ali dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.
Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat tongkat ali perlu sekurang-kurangnya mengambil satu miligram (mg) bahan aktif tongkat ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3mg bagi setiap kg berat badan, sehari.
Contohnya, jika seseorang yang mempunyai berat badan 80kg, dia memerlukan minimum 80mg ekstrak tongkat ali sehari jika mahumemperoleh faedah daripada herba itu.
"Satu mg bersamaan dengan sejuta ng dan ini jelas menunjukkan kandungan ekstrak tongkat ali dalam kopi campuran yang diuji tidak sampai satu mg dan jauh lebih rendah daripada kadar minimum yang
diperlukan.
"Justeru, penggunaan tongkat ali dalam minuman kopi campuran berkenaan sebenarnya tidak banyak membantu memberi manfaat daripada segi kesihatan, malah mungkin sia-sia saja," kata Rasadah dalam satu temu bual dengan Berita Harian, di sini.
Rasadah berkata, tiga lagi jenama kopi campuran tongkat ali yang diuji FRIM gagal mengesan sebarang kandungan ekstrak bahan itu, mungkin kerana jumlahnya terlalu kecil atau memang tiada langsung bahan berkenaan.
Oleh: azrul affandy sobry (petikan dari akhbar Berita Harian)
Categories: