....

.

.
.




ALOR SETAR, 14 Ogos (Bernama) -- Kebiasaanya kuih muih dijual pada harga RM1 untuk 3 biji manakala murtabak pula dijual RM2 untuk satu keping di mana-mana bazar Ramadan di negeri ini.

Berbeza dengan bazar Ramadan di perkarangan Stadium Darulaman, orang ramai sekitar bandar raya ini berpeluang menikmati pelbagai jenis kuih muih seperti karipap, masalodeh, keria, buah melaka, cucur jagung dan cucur badak yang dijual pada harga RM1 untuk 10 biji.

Nurhayati Ahmad, 49, yang berniaga di bazar Ramadan itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia menjual kuih muih bersaiz mini pada harga RM1 untuk 10 biji sepertimana arwah ayahnya lakukan dahulu.

"Arwah ayah selalu berpesan, kalau nak berniaga perlu bagi orang puas hati, buat kuih mesti kena sedap dan jangan terlalu memikirkan keuntungan sahaja," katanya kepada Bernama.

Nurhayati berkata walaupun sekarang harga bahan mentah sudah naik, tetapi dia tetap mengekalkan harga itu walaupun keuntungan yang dia dapat tidak semewah dahulu.

"Saya rasa puas jika semua kuih yang saya jual itu habis dan mereka (pembeli) yang beli kuih saya akan datang lagi pada hari lain dan itu menunjukkan mereka puas hati dengan kuih yang saya jual," kata Nurhayati yang dibantu oleh anak serta menantu.

Katanya dia hanya berniaga di bazar Ramadan sahaja dan sesiapa yang mahu merasai kelazatan kuih yang dijualnya perlu menunggu setahun sekali dan dia hanya berniaga di bazar Ramadan Stadium Darulaman.

Sementara itu, peniaga murtabak, Abdullah Salleh, 49, atau lebih dikenali sebagai 'Bang Lah Murtabak' yang berniaga murtabak ayam dan daging pada harga RM1 sekeping berkata dia berbuat demikian kerana berniat untuk bersedekah sambil berniaga.

"Sejak sembilan tahun lalu, harga murtabak saya tidak pernah berubah dan saya akan cuba kekalkan harga ini selagi saya mampu.

"Saya mempunyai pekerjaan tetap, jadi keuntungan bukanlah sesuatu yang dicari tetapi kepuasan dalam menderma kepada orang ramai lebih penting," katanya yang juga hanya berniaga pada bulan Ramadan sahaja.

Katanya, sebab itulah setiap kali tiba bulan puasa, dia akan cuba mencari masa untuk berniaga murtabak dengan harga RM1 sekeping.

-- BERNAMA

Categories: