....

.

.
.






GEMAS – Penduduk di Kampung Tiong, dekat sini, gempar seketika apabila menemui seekor ular yang disangka pada mulanya ular sawa batik semasa kerja pembesaran longkang di kampung berkenaan.

Ketua Skuad Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Gemas, Rushydi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 2 petang Ahad lalu dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, ular berkenaan sudah pun diletakkan penduduk di atas jalan dan kelihatan tidak agresif susulan dipercayai kenyang berikutan keadaan perutnya yang membesar.

“Bila saya perhatikan ular ini, saya terperanjat kerana ia bukanlah seperti ular sawa berikutan kepalanya seperti biawak dan kulitnya agak kasar serta mengerutu berbanding ular biasa.

“Oleh itu, saya telah menghubungi Raja Ular Zainuddin dan dia menyatakan ular itu ialah ular belalai gajah yang jarang ditemui di sini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di JPAM Unit Gemas, kelmarin.

Untuk rekod, ular belalai gajah atau nama saintifiknya Acrochordus Javanicus hanya ditemui di Asia Selatan dan New Guinea di mana habitatnya adalah di sungai, parit dan muara sungai.

Ular ini sering melingkar dalam air sehingga menyamai bongkah kayu atau sisa pohon tumbang dan sekiranya ikan datang menghampirinya akan dimakan.

Rushydi berkata, buat masa ini, ular seberat 10 kilogram dan sepanjang satu meter itu akan diletakkan di JPAM sebelum menemui kata putus dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kejayaan kita menangkap ular ini merupakan pengalaman berharga buat JPAM Unit Gemas kerana sememangnya spesies ular ini sukar ditemui.

“Malah, walaupun kita sudah menangkap lebih 40 ular untuk tahun ini, ini adalah pengalaman paling manis untuk dikenang,” katanya.

Categories: