Bagi empat orang anak muda yang dilahir menerusi program Radical Starz Search (RSS) di bawah naungan Radical Records, bersedia menghadapi cabaran.
Empat artis berbakat ini, Fisc An, Fir Zinni, Krull dan Aroha, bersedia bersaing dengan artis-artis lain tanahair.
Kesemua mereka ini lahir atas didikan Komposer tersohor Rosli Ahmad, telah melahirkan single album masing-masing.
Apa yang penting setiap lagu yang dilahirkan cukup berkualiti dan sangat sinonim dengan peredaran zaman ini.
Bagi Fisc An, salah seorang bakat yang berasal dari Tanjung Balai Asahan Indonesia, merasakan seakan bermimpi apabila terpilih menjadi artis didikan Rosli Ahmad.
Kedatangannya tahun 2009 yang lalu ke Malaysia tidak sia-sia.
"Tidak ada niat langsung untuk saya menjadi penyanyi di sini, hinggalah satu hari saya mendapat peluang dari Komposer terhebat di Malaysia, Rosli Ahmad,"ujar Fisc An, anak ke tiga dari lima beradik ini.
Kini beliau berbangga lagu dendangannya Koma Noktah Serta Baris mula tersiar di corong-corong radio termasuk di radio Indonesia.Malah dalam satu carta lagu di Indonesia, lagunya ini berjaya mengatasi penyanyi tersohor Malaysia Dato Siti Nurhaliza. Fisc An juga turut mempunyai satu lagu duet bersama artis RSS Nadia berjudul Aku Ingin Tahu.
Fisc An yang bekerja sebagai Chef ini tidak menafikan semakin seronok sejak bergelar penyanyi ini.
Seorang lagi artis RSS, Aroha Ibrahim, sebelum bergelar penyanyi merupakan seorang pelajar di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan), dan terlibat dengan lakonan teater.Beliau mula serius dengan bidang nyanyian sejak menyertai RSS.
"Roha menyanyi sejak kecil lagi sebenarnya. Tapi sekarang Roha terus Fokus dengan bidang nyanyian la,"ujar Aroha anak bongsu dari enam adik beradik.
Kini Aroha yang popular menerusi lagu Sedang Ku Cinta Kamu, turut berminat menulis puisi dan berhasrat membukukannya suatu hari nanti.
Ditanya mengenai impian beliau di masa akan datang, menurut Aroha, beliau ingin membawa RSS ke peringkat yang lebih jauh lagi.
"Sekarang ni Roha 'full time' dengan RSS, dan berjaya menubuhkan satu band dari Radical Starz ni, so, Roha harap dapat membawa nama RSS ni ke depan lagi lah,"terang Aroha.
Seorang lagi artis berbakat besar dari RSS, Mohd Firus Mohd Yusof atau lebih glamour dipanggil Fir Zinni yang berasal dari Kota Belud Sabah dan kini sudah menetap di Kuala Lumpur.
Menurut Fir Zinni, sebelum bergelar artis RSS, beliau tiada apa-apa pengalaman dalam bidang nyanyian.
"Saya sendiri pun pada mulanya tidak pernah tahu yang saya ni boleh menyanyi.Tapi setelah saya menyertai RSS4.0, barulah bakat saya dicungkil menerusi pertandingan itu,"ujarnya.
Fir Zinni yang popular menerusi lagu Perjalanan Hidupku mempunyai impian untuk berjaya dalam apa saja bidang yang diceburinya terutama dunia seni tanahair.
Artis keempat RSS yang kami temui baru-baru ini, Mohd Hairul Anuar Safar, atau Kroll Anuar, beliau mula menceburi bidang nyanyian ini sudah lama, sejak dari sekolah rendah lagi tetapi lebih kepada lagu-lagu Nasyid. Sejak itu banyak menyertai pertandingan nyanyian serta karaoke.
"Tetapi mulai tahun lepas, seorang kawan memperkenalkan saya dengan RSS ini, dan meminta saya menghantar nyanyian melalui voice massage kepada komposer, kemudian komposer minta saya datang ke studio. Alhamdulillah, saya diberi peluang merakamkan lagu Bila Telah Mengerti bulan ogos tahun lepas. Lagu tersebut telah diluluskan oleh pihak RTM. Syukur Alhamdulillah,"terang Kroll .
Kroll yang bakal merakamkan dua buah lagu lagi ini berharap dapat membawa nama RSS ke tahap yang lebih tinggi lagi. OLEH: AZZWAN IZHAR FOTO: SYAHRUL AZRIE.
Categories: