....

.

.
.






RANTAU PANJANG – Gara-gara menitis gam yang mana bekasnya menyerupai sejenis cecair pencuci mata, seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun terpaksa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.

Suzita Zakaria, 29, berkata, anak bongsunya itu pernah melihat dia menggunakan cecair untuk dititiskan ke matanya dan yakin anaknya meniru perbuatannya.


Menurutnya, pada malam kejadian tersebut, anaknya mengambil gam di atas dinding kayu rumah ibunya dan terus menitikkannya ke mata.

“Apabila melihat Muhammad Almuhaimi mengambil bekas gam, saya segera mendapatkannya untuk menghalangnya daripada menitik gam ke dalam mata, tetapi gagal.

“Titisan gam tersebut menyebabkan mata kanannya tidak dapat dibuka dan dia menangis tanpa henti, sehingga memaksa kami membawanya ke klinik swasta di pekan Rantau Panjang,” katanya kepada pemberita.

Suzita berkata, doktor di klinik swasta kemudian memintanya menghantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, dengan bantuan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Muhamad Almuhaimi dibawa ke hospital.

“Saya bersyukur kerana selepas mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas, anak bongsu saya sudah boleh membuka matanya,” katanya.

Suzita berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga berada di rumah ibunya di Kampung Kok Pauh.

Menurutnya, di kediamannya, dia akan menyimpan barangan merbahaya serta tajam di tempat selamat kerana sedar anak bongsunya lasak dan aktif dan bimbangkan keselamatannya.

Suami Suzita, Mohd Fadli Muhammad, 29, berkata, perkara ini diharapkan menjadi pengajaran untuk semua ibu apa agar perkara sama tidak berulang kepada mereka.

Menurutnya, selama ini dia dan isteri sentiasa berhati-hati kerana sedar anaknya aktif.

“Saya bersyukur anak kami selamat, dan berharap ibu bapa supaya mempunyai tempat khusus menyimpan barang tajam serta berbahaya,” katanya.

Categories: