....

.

.
.


TEMERLOH - Rizab Hutan Simpan Krau berkeluasan 62,000 hektar bakal dibangunkan menjadi lembah harimau yang merupakan satu lagi produk pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi tujuan itu dan RM3.2 juta daripadanya digunakan untuk membina pagar serta kemudahan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Menurutnya, produk pelancongan terbaru terbabit diyakini akan menarik lebih ramai pelancong terutama luar negara untuk berkunjung ke kawasan itu.

“Sejak Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dibuka, ramai pelancong tempatan dan luar negara datang untuk melihat gajah secara dekat.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 140,000 pelancong membabitkan lebih 90 negara datang ke Kuala Gandah,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemeliharaan dan Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah, Lanchang, di sini.

Beliau berkata, lembah harimau itu sangat menarik kerana pelancong bukan sahaja dapat melihat harimau itu secara dekat, malah menikmati alam semula jadi hutan simpan masih dara itu.

Menurutnya, pelancong juga akan diperkenalkan dengan pelbagai jenis pokok dan herba yang dipelihara untuk dijadikan bahan perubatan.

“Kita mahu menjadikan Kuala Gandah bukan sahaja sebagai pusat pelancongan antarabangsa, malah tempat rawatan dan pembiakan gajah. Sejak ia dibuka, sebanyak 682 gajah tercedera sama ada disebabkan binatang buas atau pemburu haram dirawat di pusat ini.

“Banyak anak gajah kudung kaki, ekor dan sebagainya. Selepas dirawat di pusat ini, haiwan itu semakin sihat dan keselamatan juga terjamin,” katanya.-sinarharian

Categories: