....

.

.
.




JEMPOL - Tindakan sekumpulan lelaki berjudi sambil bersantai minum air dekat sebuah bangsal belakang rumah di Felda Palong membawa padah apabila mereka dicekup dalam satu serbuan pada 23 Ogos lalu.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu, polis turut merampas daun terup dan wang tunai dipercayai digunakan sebagai wang taruhan perjudian.

Ketua Polis Da erah, Superintendan Mohd Sabri Mohamad berkata, kesemua suspek yang menetap di Felda berkenaan berusia 46 hingga 65 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, tujuh suspek itu dikatakan tidak menyedari kehadiran pihak polis kerana terlalu leka berjudi.

“Suspek juga menyangka kedatangan sekumpulan lelaki berpakaian biasa itu (polis) hanya bertujuan mengutip hutang.

“Setelah memperkenalkan diri, barulah semuanya sedar dan tidak sempat melarikan diri kerana telah dikepong,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Mohd Sabri berkata, serbuan dibuat hasil maklumat awam bahawa segelintir penduduk kawasan itu terlibat dalam aktiviti perjudian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama enam bulan sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam untuk melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan haram itu.

“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kes jenayah diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerusi talian 06-4582222 atau balai polis terdekat,” katanya.-sinarharian.

Categories: