Seorang wanita berusia 52 tahun yang mengalami masalah mental ditemui dalam keadaan bogel di bilik belakang sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Salad kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Perihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau menerima maklumat mengenai wanita itu daripada orang awam melalui telefon.
Menurutnya, selepas pergi ke alamat seperti dilaporkan, beliau ternampak mangsa dalam keadaan bogel sebelum menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis untuk mendapatkan bantuan.
“Empat pegawai dari JKM datang ke tempat kejadian bersama sebuah kenderaan unit MPV dari Balai Polis Lunas. Daripada maklumat saya peroleh, mangsa sudah lima tahun dikurung dalam keadaan begitu. Lebih menyedihkan, mangsa bukan sahaja ditinggalkan dalam keadaan bogel malah tidak ada tikar, tilam atau bantal di tempat mangsa dikurung.
“Mangsa hanya akan berbaring dan duduk di atas lantai simen. Selain itu saya dapati banyak beg plastik berisi nasi di luar tempat mangsa dikurung. Saya kemudiannya menghubungi ambulan untuk menghantar mangsa untuk mendapatkan rawatan di hospital” katanya.
Pegawai Kebajikan Daerah Kulim, Rohana Yussuf berkata, sebelum ini mangsa yang dikenali sebagai Salmah berada dalam keadaan normal sehinggalah ibunya meninggal dunia pada 2001. Sejak itu tidak ada sesiapa yang menguruskan kehidupannya hingga melarat.
Menurutnya, mangsa sudah menerima bantuan am daripada JKM sebanyak RM150 sebulan. Ketika pemeriksaan dibuat, pegawai JKM mendapati keadaan mangsa lemah, kelaparan dan badannya terlalu kurus sehingga menampakkan rangka.
Selain itu mangsa menjerit beberapa kali menyatakan ‘sakit’ sebelum dia di keluarkan dari tempat kurungannya. Pegawai JKM turut memakaikan pakaian yang diberikan oleh jiran kepada mereka kerana mangsa dalam keadaan berbogel.
“Saya telah mengarahkan pegawai JKM membawa mangsa ke hospital Kulim untuk menerima rawatan segera. Selepas pemeriksaan dibuat, barulah JKM mengambil keputusan bagaimana untuk mengatasi masalah dialaminya. JKM akan berbincang dengan waris mangsa untuk mendapatkan maklumat tentang mangsa sebelum mengambil keputusan untuk menghantarnya ke pusat penjagaan khas yang disediakan” kata Rohana.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi berkata, beliau telah mengarahkan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor untuk pergi ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.sinarharian.






















"Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu. "Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini. Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri. Katanya banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru. Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ia tidak memerlukan perkenan Seri Paduka. "Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh. "Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan Al Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita," katanya. Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu. Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu. 





